Simpadan dan Ligitan

Dari sebuah situs blog warga Malaysia, didapatkan alasan lain mengapa pulau Simpadan dan Ligitan berhasil dimenangkan oleh Malaysia. Berikut ini tulisannya :

Di Provinsi Kalimantan Timur, Indonesia, pernah berdiri beberapa buah negeri Melayu, yang terdiri daripada Kesultanan Bulungan, Kesultanan Berau (kemudian berpecah kepada dua iaitu Kesultanan Gunung Tabur dan Kesultanan Sambaliung), Kerajaan Kutai Kertanegara Ing Martadipura dan Kesultanan Pasir (nama lainnya Balengkong / Sadurangas). Daripada keseluruhan Kesultanan Melayu terbabit, terdapat dua buah Kesultanan yang paling menarik minat penulis, iaitu Kesultanan Kutai dan Kesultanan Bulungan.

Kesultanan Kutai dianggap oleh sejarahwan Indonesia sebagai Kerajaan (Kingdom) tertua yang pernah wujud di Indonesia. Perkara ini dibuktikan dengan penemuan Yupa / Prasasti yang dikatakan berasal dari abad ke-4 Masihi. Melalui Yupa tersebut, dapat diketahui bahawa Raja Kutai ketika itu bernama Mulawarman, yang merupakan anak kepada Aswawarman dan cucu kepada Kundungga. Jika nama Mulawarman dan Aswawarman mempunyai pengarah Bahasa Sanskrit, sejarahwan Indonesia menganggap nama Kundungga adalah nama asli tempatan. Dan Kundungga ini dikatakan datang dari Champa (Indochina). 

Nama Kutai juga ada disebut di dalam sastera kuno Jawa iaitu Negarakertagama. Sebelum abad ke-16, negeri ini terbahagi kepada dua iaitu Kutai Kertanegara dan Kutai Martadipura. Ia telah disatukan oleh Raja Aji Pangeran Sinum Panji Mendapa dari Kerajaan Kutai Kertanegara yang kemudiannya menamakan gabungan kedua-dua Kerajaan ini sebagai Kutai Kertanegara Ing Martadipura. Hanya pada abad ke-17, barulah Kerajaan ini menjadi sebuah Kesultanan Islam dan Raja-raja Kutai mulai memakai gelaran Sultan.

Bagi Kesultanan Bulungan pula, namanya bergema di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila pihak Republik Indonesia menjadikannya sebagai hujah apabila mendakwa Pulau Sipadan dan Ligitan yang menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia merupakan sebahagian daripada wilayah taklukan Kesultanan Bulungan, yang kini berstatus Kabupaten Bulungan di dalam Republik Indonesia. 

Ironinya, sewaktu era kemerdekaan Indonesia dahulu, tentera-tentera Indonesia jugalah yang telah menjarah dan membakar istana serta membunuh sebahagian kerabat Di Raja Bulungan pada 23-24 Julai 1964, dan seterusnya menghapuskan sama sekali kuasa dan kedaulatan Kesultanan Bulungan. Apa sebabnya? Sultan Bulungan dituduh mahu membawa keluar Negeri Bulungan dari Indonesia yang merupakan sebuah negara Republik dan menyertai Malaysia yang masih mengekalkan kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu, biarpun tuduhan ini kemudiannya dinafikan oleh kerabat Kesultanan Bulungan. Sebagai buktinya, foto bersejarah di bawah ini memaparkan Sultan Bulungan memimpin perkibaran bendera Indonesia di hadapan Istana dalam sebuah upacara rasmi pada 17 Ogos 1949, yang merupakan tarikh pengisytiharan kemerdekaan Indonesia oleh Presiden Soekarno. 


Apa pun, jika ditanya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, sudah tentu masing-masing akan mengeluarkan hujah bagi menyokong dakwaan bahawa Pulau Sipadan dan Ligitan adalah dibawah kedaulatan negara masing-masing. Bagi penulis pula, Kerajaan Malaysia dan Pemerintah Indonesia telah sama-sama telah bersetuju untuk membawa pertikaian ini ke ICJ dan kedua-dua belah pihak telah diberi peluang dan keadilan yang sama rata untuk mengemukakan hujah masing-masing. Dan ICJ telah memutuskan bahawa kedua-dua pulau terbabit adalah milik Malaysia. Keputusan yang sudah tentu pahit untuk diterima oleh Indonesia, sebagaimana peritnya Malaysia apabila ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura. Apapun, keputusan ICJ ini perlu dihormati oleh semua pihak yang terlibat.

Sebagaimana di Kalimantan Barat, Kesultanan-kesultanan Melayu di Kalimantan Timur juga telah bergabung selepas pasca Perang Dunia ke-2 untuk membentuk Federasi Kalimantan Timur, sebagai salah satu komponen dalam Republik Indonesia Serikat. Walaubagaimanapun, pada awal tahun 1960, akhirnya kedaulatan kesemua Kesultanan Melayu di Kalimantan Timur ini dihapuskan dan para Raja dan Kerabatnya kemudian menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa. Walaubagaimanapun, sebagaimana pewaris Raja-raja Melayu di Sumatera Timur dan Kalimantan Barat, pewaris Raja-raja Melayu di Kalimantan Timur juga pada hari ini telah kembali melestarikan takhta dan budaya Kesultanan masing-masing, walaupun pada sesetengah Kesultanan seperti Bulungan dan Pasir, masih terdapat pertikaian tentang siapa yang paling berhak untuk ditabalkan sebagai Sultan yang akan berperanan menjadi pemangku Adat.

Nota :
Terdapat sesetengah Kerabat Di Raja di Kalimantan Timur seperti kerabat Kutai dan Pasir menggunapakai gelaran Aji (kadang kala dieja juga sebagai Adji, Adjie dan sebagainya). Ia merupakan gelaran kehormat Di Raja sebagaimana gelaran Tengku, Pangeran, Gusti dan sebagainya. Ia tidak sama dengan gelaran ‘Haji’ yang digunakan apabila seseorang individu telah sempurna menunaikan rukun fardhu Haji di Mekah.

Comments

Popular Posts